Minggu, 21 Juni 2009

News

Impian Nur Asilah miliki anak tercapai
NUR Asilah Ibrahim berkongsi kegembiraan dengan Pakar Embrio, Zoe Lau Lok Hian (kiri) selepas berjaya melahirkan anak yang sihat melalui proses IVF di Pusat Perubatan Mahkota, Melaka, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL

MELAKA 14 April – Penantian selama tiga tahun untuk mendapatkan cahaya mata begitu lama dirasai oleh pasangan suami isteri, Nur Asilah Ibrahim, 39, dan suaminya, Zainuddin Ismail, 36.
Bagaimanapun mereka tidak pernah putus asa dan cubaan menggunakan kaedah rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) di Pusat Perubatan Mahkota (MMC) di sini pada tahun lalu, akhirnya membuahkan hasil.
Pada 6 April lalu mereka dianugerahi cahaya mata yang diberi nama Muhammad Aisy Rayyan dengan berat 2.7 kilogram.
Nur Asilah dan suaminya yang berasal dari Lubok China dekat sini merupakan pasangan yang ke-400 berjaya menimang cahaya mata melalui program IVF yang diperkenalkan oleh MMC sejak Julai tahun 1997.
Pasangan itu menggunakan program IVF pada 27 Ogos tahun lalu setelah didapati tidak boleh hamil secara semula jadi.
Menurut Nur Asilah yang juga seorang suri rumah, dia sangat gembira kerana akhirnya berjaya memperolehi cahaya mata selepas hampir setahun mencuba pelbagai rawatan termasuk kaedah pil.
‘‘Setelah hampir setahun mencuba pelbagai kaedah rawatan, akhirnya usaha kami untuk mendapatkan zuriat berjaya juga. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada MMC yang bertungkus lumus membantu kami,” katanya ketika ditemui di MMC di sini hari ini.
Sementara itu, Zainuddin berkata, kelahiran Muhammad Aisy Rayyan menyerikan lagi kehidupan mereka suami isteri selepas percubaan untuk menimang cahaya mata melalui rawatan lain gagal.
Anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang itu berkata, dia mengetahui mengenai program IVF di MMC melalui seorang doktor swasta di Cheng di sini tahun lalu.
‘‘Apabila saya mendapat tahu mengenai program ini, saya segera berbincang dengan isteri dan kami bersetuju untuk mencuba dan akhirnya, Alhamdullillah, usaha kami berhasil.
‘‘Semua ini juga tidak mungkin menjadi kenyataan jika tanpa usaha bersungguh-sungguh dan komitmen daripada pihak MMC sendiri,” katanya.

Tidak ada komentar: